Kita terus menelaah Bidadari Dunia hari ini. Perempuan yang merupakan manusia, tetapi melangkah dengan langkahan bidadari. Mahal. Indah. Tinggi. Mulia.
Antara ciri-ciri wanita, perempuan yang sedemikian, pada saya, adalah yang menjagaakhlaknya.
Ya. Akhlak.
Dikatakan bahawa akhlak adalah pakaian yang menunjukkan keadaan kita. Buruk akhlak, buruklah orang memandang kita. Walaupun pada kita ada seribu satu kelebihan, seperti cantik, kaya dan sebagainya.
Cantik akhlak, cantiklah orang memandang kita. Walaupun pada kita ada seribu satu kekurangan, seperti miskin, tidak berapa cemerlang dalam pelajaran dan sebagainya.
Dan antara yang mendamaikan jiwa manusia, adalah akhlak.
Sebab itu perempuan berakhlak, dia adalah bidadari dunia.
Akhlak, bukan semata berdiri di atas nilai murni.
Pertamanya, perlu difahami bahawa, akhlak mulia bukanlah semata-mata berdiri di atas nilai murni semata-mata. Apakah maksud saya dengan penyataan ini?
Yakni, kita tidak memandang bahawa akhlak mulia itu semata-mata berdiri di atas nilai moral. Contohnya, kita tidak berbogel di tengah masyarakat, kerana masyarakat menganggap itu satu perkara yang tidak bermoral. Maka kita berpakaian, kerana pada masyarakat, berpakaian itu bermoral.
Contoh lain, kita tidak menengking-nengking orang, kerana masyarakat menganggap menengking itu satu perkara yang tidak murni. Begitu juga dengan kita membantu orang, kerana masyarakat menganggap membantu orang lain adalah perkara yang murni.
Ya. Akhlak bukan berdiri di atas ‘nilai murni’ atau ‘moral’ dengan ukuran masyarakat, ukuran manusia.
Tetapi konsep berakhlak yang sebenar itu, diukur dengan nilaian yang telah diletakkan oleh Allah SWT.
Masyarakat mungkin boleh menerima bahawa yang memakai baju kurung, tanpa tudung, itu dikatakan berakhlak, sopan. Tetapi di dalam Islam, itu belum mencapai tahap berakhlak lagi. Kerana jelas, di situ ada ‘keingkaran’ kepada Allah SWT berlaku. Maka bagaimanakah kita boleh mengira keingkaran kepada Allah SWT sebagai ‘berakhlak’?
Contoh lain dalam isu ini, berpegangan tangan dengan yang bukan mahram. Mungkin pada masyarakat, itu tidak mengapa. Tiada masalah. Bukan peluk pun. Jadi kalau berpegangan tangan, bersentuh bahu studi bersama, maka itu boleh dikira berakhlak lagi. Tetapi tidak di dalam Islam. Itu belum mencapai tahap ‘berakhlak’. Kerana jelas berlaku pengingkaran kepada Allah SWT di situ.
Jadi, bidadari dunia memahami akhlak mulia itu sedemikian rupa.
Apakah ‘akhlak mulia’? Itulah dia dengan berakhlak mengikuti akhlak yang telah diperintahkan oleh Allah SWT.
Maka Mereka Berakhlak dengan akhlak yang diperintahkan.
Firman Allah SWT:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” Surah An-Nur ayat 31.“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” Surah Al-Ahzab ayat 32.“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah Al-Ahzab ayat 59.“Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka. Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka. Kepala mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga boleh terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh.” Hadith Riwayat Muslim, bernombor 3971.
Begitulah Allah SWT memerintahkan. Begitulah Rasulullah SAW menunjukkan.
Maka Bidadari Dunia itu matanya tidak liar dalam memandang yang tidak sepatutnya. Tidaklah bermaksud tunduk hingga terlanggar tiang dalam perjalanannya. Tetapi bermaksud, tidak terlalu teruja dengan sesuatu yang tidak sepatutnya.
Tiadalah pula mereka ini menunjuk-nunjukkan perhiasan mereka, kecuali pada tempat yang memang tidak terlindung. Tiadalah mereka menayang-nayangkan barang kemas, dan berlebih-lebihan dalam mengenakan hiasan.
Mereka juga menutup aurat dengan kemas. Tidak semata-mata mengikut fesyen arus itu dan ini. Tetapi memastikan bahawa yang Allah kehendaki itu selesai. Yakni menutup seluruh tubuh kecuali tangan dan wajah. Juga tidaklah hingga menunjukkan tubuh badan. Pakaian mereka labuh, walau apa pun yang dipakai mereka.
Mereka juga tidaklah ‘gedik’, mengada-ngada, melembutkan suara pada yang bukan mahram, dan berhubungan bebas dengan mereka. Tidak pula perempuan yang beriman ini, bidadari dunia ini, bila berjalan kedengaran ‘keletak-keletuk’. Mereka berjalan dengan sopan, teratur, dan tidak terlalu menarik perhatian. Terjaga.
Walaupun ada ayat di atas menyebut ‘isteri-isteri nabi’, tetapi hakikatnya hukum itu jatuh kepada semua perempuan muslimah yang beriman. Hal ini kerana, isteri-isteri nabi adalah ibu kepada perempuan yang beriman. Kerana itu mereka digelar, Ummul Mukminin. Mereka menjadi ikutan kepada perempuan yang inginkan keredhaan Allah SWT.
Kerana itu. Bidadari Dunia Sangat Indah.
Kerana memahami akhlak yang sedemikian ini dan melaksanakannya lah, Bidadari Dunia menjadi sangat indah. Cuba perhatikan semula sub topi di atas ini dan kemudian bayangkan. Sederhana bukan?
Ya. Sederhana. Tidak kelihatan terlalu terkinja-kinja. Kelihatan amat sopan. Amat cantik dalam erti kata cantik yang sebenar. Amat indah.
Saya tidak mampu menterjemahkan dengan apa-apa perkataan lain selain perkataan Sederhana.
Tidak terlalu melebih-lebih. Dan tidak pula terlalu kurang. ‘Just nice’ orang putih kata.
Itu yang membuatkan Bidadari Dunia indah.
Penutup: Tetapi siapakah yang hendak berakhlak sedemikian rupa?
Tetapi siapakah daripada kalangan saudari-saudari saya ingin berakhlak sedemikian?
Berakhlak dengan apa yang Allah SWT mahu. Bukan sekadar apa yang masyarakat mahu.
Akhlak yang indah. Yang cantik. Yang mulia.
Ketahuilah bahawa perempuan yang sedemikian, mahal harganya.
Terjaga. Kemas. Bukan murah yang boleh diambil oleh sesiapa. Suci!
Bidadari Dunia!
Siapakah yang mahu menjadi?
http://www.langitilahi.com/